SELAMAT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-57




Jalur Gemilang yang sedang berkibar megah menjadi inspirasi kepada rekabentuk logo ini. Ia merupakan satu perlambangan kepada Negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

Angka 57 membawa maksud ulangtahun ke-57 kemerdekaan Malaysia, sekaligus menjadi lambang kematangan Negara di bawah kepimpinan yang mantap, berinovasi serta berwawasan yang boleh disaksikan menerusi pembangunan, kecemerlangan dan kemakmuran yang dikecapi secara berterusan.

Angka 57 yang diberikan sentuhan retro, menjadi refleksi kepada tarikh keramat kemerdekaan Negara pada tahun 1957, mencerminkan impian dan harapan serta semangat cintakan Negara yang tidak berbelah bahagi rakyat terdahulu, semoga menjadi pedoman dan panduan kepada generasi Malaysia hari ini terutama golongan muda.

Kibaran Jalur gemilang menyelimuti angka 57 turut mencerminkan kemakmuran dan keamanan Negara yang telah wujud sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, berupaya dikekalkan sehingga ke saat ini dengan sokongan dan dukungan kuat oleh rakyat berbilang etnik dan kepercayaan yang bergabung menjadi satu masyarakat Malaysia yang unik dan bertoleransi.

Bulan sabit dan bintang berbucu 14 melambangkan kedaulatan Negara, menjadi kewajipan setiap pemimpin dan rakyat untuk terus memelihara dan mengekalkannya.

Tema ‘MALAYSIA… Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’ diletakkan pada sudut bersesuaian dengan rekabentuk logo bagi menyokong kekuatannya dari segi imbangan, maksud dan nilai estetika.

WARNA MERAH
Lambang keberanian dan kesetiaan kepada Negara yang tercinta.

WARNA BIRU
Lambang penyatuan dan keharmonian antara kaum.

WARNA KUNING
Lambang kedaulatan Negara di bawah naungan Raja Berpelembagaan dan diterajui kepimpinan yang prihatin dengan pencapaian Negara serta keperluan rakyat.

WARNA PUTIH
Menjadi perlambangan kepada kejujuran, ketelusan dan komitmen serta kerjasama yang erat di antara pemimpin dan rakyat.


*sumber: moe.edu.my

Share this:

Post a Comment

 
HAKCIPTA © | PENAFIAN | DASAR KESELAMATAN | DASAR PRIVASI | SK GOMBAK UTARA | Designed by OddThemes | NMA