Jalur Gemilang yang sedang berkibar
megah menjadi inspirasi kepada rekabentuk logo ini. Ia merupakan satu
perlambangan kepada Negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat.
Angka 57 membawa maksud ulangtahun
ke-57 kemerdekaan Malaysia, sekaligus menjadi lambang kematangan Negara di
bawah kepimpinan yang mantap, berinovasi serta berwawasan yang boleh disaksikan
menerusi pembangunan, kecemerlangan dan kemakmuran yang dikecapi secara
berterusan.
Angka 57 yang diberikan sentuhan
retro, menjadi refleksi kepada tarikh keramat kemerdekaan Negara pada tahun
1957, mencerminkan impian dan harapan serta semangat cintakan Negara yang tidak
berbelah bahagi rakyat terdahulu, semoga menjadi pedoman dan panduan kepada
generasi Malaysia hari ini terutama golongan muda.
Kibaran Jalur gemilang menyelimuti
angka 57 turut mencerminkan kemakmuran dan keamanan Negara yang telah wujud
sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, berupaya dikekalkan sehingga ke
saat ini dengan sokongan dan dukungan kuat oleh rakyat berbilang etnik dan
kepercayaan yang bergabung menjadi satu masyarakat Malaysia yang unik dan
bertoleransi.
Bulan sabit dan bintang berbucu 14
melambangkan kedaulatan Negara, menjadi kewajipan setiap pemimpin dan rakyat
untuk terus memelihara dan mengekalkannya.
Tema ‘MALAYSIA… Di Sini Lahirnya
Sebuah Cinta’ diletakkan pada sudut bersesuaian dengan rekabentuk logo bagi
menyokong kekuatannya dari segi imbangan, maksud dan nilai estetika.
WARNA MERAH
Lambang keberanian dan kesetiaan
kepada Negara yang tercinta.
WARNA BIRU
Lambang penyatuan dan keharmonian
antara kaum.
WARNA KUNING
Lambang kedaulatan Negara di bawah
naungan Raja Berpelembagaan dan diterajui kepimpinan yang prihatin dengan
pencapaian Negara serta keperluan rakyat.
WARNA PUTIH
Menjadi perlambangan kepada
kejujuran, ketelusan dan komitmen serta kerjasama yang erat di antara pemimpin
dan rakyat.
*sumber: moe.edu.my